Tepuk dada, tanya hati. Apa yang dirasai saat ini???
Hore! Alhamdulillah, hari yang ditunggu dinanti telah kunjung tiba. Keazaman menggunung tinggi. ‘Aku mahu memanfaatkan Ramadhan kali ini sebaiknya!’ Persediaan rapi dilakukan. Kesihatan perlu dijaga. Jika hari-hari berlalu, terasa diri tidak berjaya untuk akrab dengan DIA atas kekhilafan sendiri… moga-moga pada lembaran ini akan membuka jalan, memberi peluang buat jasad dan hati untuk kembali.
Atau…
Oh, tidak! Puasa ganti belum dilunasi lagi. Bukan sengaja melengahkan diri tetapi… banyak bangat kerja yang perlu diberesi! Lapar, dahaga… khuatir mengganggu konsentrasi. Walau tidak dapat dinafi, memang salah sendiri yang suka melengahkan diri. Ah! Mereka yang memandang, belum tentu bisa mengerti.
Apapun alasannya, yuk kita mempersiapkan diri kepadanya. Boleh jadi Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Siapa tahu? Justeru, kejarlah … kutiplah mutiara selagi punya waktu. Dapatkanlah keampunan selagi ada ruang. Bersihkan hati, sucikan jiwa. Moga-moga… sekiranya sudah sampai ketetapan ALLAH buat kita, setidak-tidaknya kita sudah berusaha untuk mengislah diri. ALLAHU RABBI…
Ya! Sesungguhnya hidup dan mati aku hanyalah untuk DIA yang Maha Kuasa.
Oh, Ramadhan menjelma lagi…
Khuatir kealpaan lalu berulang kembali. Semangat tarbiah hanyalah di permulaan. Bilamana diuji TUHAN, diri tidak tahan godaan. Jiwa pun tidak mampu bertahan. Tidak mahu menggunakan akal yang dikurniai ALLAH dalam menilai dan membuat perhitungan.
…
Saf di madrasah jelas berkurangan. Solat sunat Tarawih tidak lagi menjadi tumpuan. Solat malam apatah lagi. Mungkin kita terlupa untuk mempelajari, ‘Sesiapa beribadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada ALLAH dan mengharapkan pahala daripada-NYA, nescaya akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.’ (H.R. Muslim)
Aduh, keutamaan sahur tidak lagi diambil perhatian. Walhal, Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, ‘Makan sahur itu berkat. Oleh sebab itu, janganlah kamu meninggalkannya walau hanya dengan seteguk air; kerana ALLAH merahmati mereka yang makan sahur, manakala malaikat pula mendoakannya.’ (H.R. An-Nasaai dan Ahmad)
Bukan itu sahaja, untuk segera berbuka apabila masuk waktu pun tidak diendahkan. Hendak makan kurma dahulu? Oh, jauh sekali. Ada ABC yang lebih menarik hati. Lupakah kita pada sabdanya yang berbunyi, ‘Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mana mereka segera berbuka puasa.’ (H.R. Bukhari dan Muslim)
Infak dan sedekah? Oh, diri sendiri pun cukup-cukup makan. Sedarkah, wahai hati? Sesungguhnya apa yang kita miliki itu hakikatnya adalah kepunyaan ALLAH, daripada DIA yang mengurniakan rezeki. Bila-bila masa DIA boleh menambah. Tidak kira ketika DIA boleh mengambil kembali. Justeru, marilah kita menghulurkan tangan, meringankan beban. Salah satu jalannya ialah… INFAK dan BERSEDEKAH. Daripada Ibnu Abbas R.A. katanya, ‘Rasulullah SAW adalah seorang yang paling dermawan dan sifat dermawannya lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika baginda ditemui Jibril. Kebiasaannya, Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari Al-Quran. Maka Rasulullah SAW lebih bermurah hati melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup.’ (H.R. Bukhari)
… oh, banyak rupanya yang perlu dilihat dan diperhalusi. Peringatan buat diri sendiri yang selalu lalai lagi alpa.
Moga-moga, ALLAH memilih kita menjadi hamba-NYA yang tidak merugikan peluang yang telah diberikan.
Moga-moga, tarbiah Ramadhan menjadikan kita hamba yang lebih baik… lebih akrab… lebih murni jiwanya. Juga istiqamah dalam mendapatkan keredhaan-Nya.
Peringatan buat diri sendiri yang selalu lalai lagi alpa. Salam Ramadhan buat semua. Bertambah malang, apabila jasad turut serta mengekorinya.
0 comments:
Post a Comment